Salam Jumaat buat semua. Ni ada sedikit perkongsian buat semua. Cik Na Na tak pasti sumber asal artikel ini tetapi yang pasti masa kemas meja kerja terjumpa artikel ini terselit di celah-celah buku. Suatu artikel menarik dan membuatkan diri ini secara tidak langsung bersemangat untuk mengerjakan Solat Di Awal Waktu kerana Fadhilatnya tersangat menarik. Jom kita sama-sama baca dan menghayati artikel ini. Artikel ini bertajuk 'Manfaat Solat Awal Waktu & Kaitan Dengan Warna Alam'. Semoga perkongsian ini mampu menambahkan pengetahuan kita di samping dapat membantu memperbaiki lagi ibadat kita.
Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.
1) Waktu Subuh = Biru Muda
Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna Biru Muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolism tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar, rezeki dan komunikasi.
Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuh ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) iaitu dalam erti kata lain jaga dalam tidur. Di sini juga kita, dapat cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.
Bermula sahaja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuh, sebenarnya sudah tidak mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.
2) Waktu Dhuha = Hijau
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau iaitu ketika waktu Dhuha.
3) Waktu Zuhur = Kuning
Warna kuning menunjukkan masuknya waktu Zuhur. Spektrum warna Kuning pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan dan terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya.
4) Waktu Asar = Oren
Masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini adalah warna Oren yang bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna Oren adalah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ini jasad dan roh seseorang itu terpisah yakni tidur. Jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ini amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.
5) Waktu Maghrib = Merah
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna Merah. Pada waktu ini, kita dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana sperktrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti seketika pada waktu ini dan solat Maghrib terlebih dahulu. Kerana pada waktu ini banyak interferens (pembelauan) berlaku yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna Merah ialah keyakinan serta berkaitan rapat dengan frekuensi otot, sarat dan tulang.
6) Waktu Isyak = Indigo
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap tertinggal Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada di dalam Kegelapan dan sebetulnya inilah Waktu Tidur Dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil 'Tidur Delta' di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.
7) Waktu Qiamullail = Putih, Merah Jambu dan Ungu
Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna Putih, Merah Jambu dan seterusnya Ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Iaitu berkait rapat dengan fungsi otak. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu Solat dengan Warna Alam. Manusia kini sememangnya sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktornya kewujudan bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, gigong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.
Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah dikurniakan syariat Solat oleh Allah SWT tanpa kita perlu memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah SWT mewajibkan Solat ke atas hamba-Nya atas sifat Pengasih dan Penyayang-Nya sebagai Pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya amat memerlukannya.
Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga Solatnya.
Semua yang terdapat di alam ini adalah untuk manfaat segala makhluk-makhluk-Nya.
Waallahuaklam...
![]() |
| Allah Hu Akbar Warna Alam mengikut Waktu Solat mempunyai Rahsia yang Tersendiri.. Sumber Foto : Goggle |

No comments:
Post a Comment