Bunga Berguguran

Thursday, December 12, 2013

Masalah Peti Suara

Entry in imerupakan rentetan dari pada entry Serak Itu Seksi Ker???. Dalam entry tu kita bincang tentang petua macam mana nak memulihkan suara yang serak kepada merdu seperti sebelum ini. Hehehe...merdu la sangat kan??? Kali ini kita merujuk dari perspektif perubatan lak k... Suara serak mungkin diakibatkan oleh masalah pada peti suara.. Auwwww...macam seram jer.. Adakah peti suara saya sedang menghadapi masalah sekarang? Memang tak p check up lagi ekoran kesempitan masa. In Sha Allah..kalau masuk tahun 2014 pun tak hilang lagi suara seksi ni.. Kena berjumpa doktor gak la untuk pemeriksaan lanjut. Risau kan.. Coz suara merupakan salah satu anugerah Allah SWT yang tersangat bernilai dan tersangat penting. So kena ambil tau jugak pasal dia. So kat bawah ini ada sedikit info mengenai permasalahan peti suara yang ditulis oleh Dr. Irfan Mohamad. Ha..kat bawah ni siap letak nama dan biodata ringkas dia... 
Ni penulis artikel asal "Masalah Peti Suara'
Sumber : Goggle
SUARA merupakan suatu nikmat yang membolehkan kita untuk berkomunikasi antara satu sama lain, meluahkan emosi dan perasaan, memberikan isyarat serta amaran jika berlaku sesuatu perkara yang berbahaya dan sebagainya.

Banyak orang menganggap suara adalah sesuatu yang terjadi secara automatik atau tindak balas manusia yang terjadi secara refleks.

Oleh sebab itulah mereka tidak pernah merasakan bahawa ia adalah satu anugerah yang amat penting dan berharga yang tanpanya manusia tidak akan dapat hidup dengan sempurna.

Sesekali apabila kita mendapat sakit tekak dan suara kita tidak dapat keluar, barulah kita menyedari peri pentingnya kurniaan Tuhan itu dalam kehidupan kita.

Peti suara
Peti suara terletak pada bahagian larinks seseorang. Peti suara atau glottis menjadi pengawal yang menentukan sebanyak mana udara yang keluar, kadar kenyaringan (pitch) dan kekuatan (amplitude ) suara kita.

Panjang peti suara berlainan antara lelaki dan wanita. Peti suara lelaki berukuran 17 hingga 23 milimeter (mm) dan wanita berukuran 15 hingga 19 mm, membuatkan suara lelaki lebih kasar (low pitch) dan wanita sebaliknya.

Peti suara lelaki yang lebih panjang ini juga memberi bentuk halkum yang lebih kelihatan pada pandangan khalayak umum.

Simpanan tenaga untuk penghasilan suara berasal daripada paru-paru. Semasa proses menghembus nafas, udara dalam kuantiti terkawal akan melalui dan menggetarkan peti suara.

Seterusnya, ia akan melalui rongga mulut dan sebahagian kecil melalui hidung yang akan memberikan bunyi huruf-huruf yang sesuai mengikut arahan serebrum.

Sedikit udara akan keluar melalui hidung untuk memberi kesan resonans yang menyedapkan telinga mendengar.

Tanda-tanda masalah
* Serak suara
Keadaan ini sering terjadi terutamanya sewaktu kita mengalami jangkitan pada bahagian atas saluran pernafasan. Ia selalunya akan kembali normal selepas satu atau dua minggu.

Serak suara yang berlarutan atau bertambah teruk sepatutnya membawa anda berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Ia amat penting untuk menentukan bahawa anda tidak mengalami masalah lain seperti gangguan kepada saraf peti suara, ketumbuhan, refluks faringitis dan sebagainya.

* Sukar bernafas
Glottis merupakan ruangan yang paling sempit pada badan seorang dewasa. Oleh sebab ia merupakan tempat yang mesti dilalui oleh udara yang keluar masuk ke paru-paru, maka sebarang gangguan fungsi (saraf recurrent laryngeal) atau ketumbuhan boleh menyebabkan ia menjadi lebih sempit dan ada ketikanya menyebabkan pernafasan menjadi berbunyi (stridor).

Keadaan seperti ini perlu mendapat perhatian dan pemeriksaan rapi doktor dengan kadar yang segera.

* Batuk berdarah
Sebarang ulser atau ketumbuhan yang ada pada peti suara khasnya, atau di mana-mana di sepanjang saluran pernafasan boleh menyebabkan pesakit mengalami batuk berdarah.

Ini adalah kerana peti suara merupakan laluan yang paling sempit dilalui oleh udara berkelajuan tinggi, yang akan dikeluarkan sewaktu seseorang itu batuk.

* Tersedak
Sewaktu kita menelan makanan, beberapa mekanisme berlaku dalam larinks untuk menutup saluran pernafasan bagi memastikan tiada makanan yang termasuk ke dalamnya.

Salah satu daripadanya ialah penutupan peti suara. Jika terdapat kelumpuhan pada saraf peti suara atau apa jua keadaan yang mengganggu fungsi ini, maka ada makanan yang mungkin tersalah masuk ke dalam saluran pernafasan dan berlakulah proses batuk secara tiba-tiba yang kita panggil tersedak.

Tips menjaga suara
Banyak perkara yang boleh kita amalkan yang akan membantu kita mendapat suara yang sedap didengar. Antaranya ialah:

* Elakkan menjerit
Peti suara kita terpaksa bekerja dengan kuat untuk menghasilkan jeritan. Jika kita perlu bercakap untuk khalayak yang ramai, gunakanlah mikrofon atau pembesar suara.

Salah satu pesanan Luqman Al-Hakim kepada anaknya ialah supaya tidak sesekali meninggikan suara dalam percakapan dan ia sememangnya terbukti dalam ilmu perubatan laringologi.

* Elakkan berbisik
Banyak orang tersalah angap bahawa berbisik akan membantu seseorang yang tidak dapat mengeluarkan suara sewaktu sakit tekak.

Berbisik sebenarnya boleh menerukkan lagi keadaan serak suara dan ia juga tidak baik untuk seseorang yang sihat.

* Selangi percakapan dengan meminum air
Seringkali kita melihat penceramah diberi air mineral sewaktu berucap. Ia bukanlah sekadar tradisi bahkan menjadi satu bentuk kaedah perubatan yang amat berguna.

Amalan meminum air pada waktu memberi ucapan atau ceramah yang panjang boleh membantu menjaga suara supaya tidak timbul keperitan.

* Jangan merokok
Selain daripada menyebabkan kanser mulut dan paru-paru, merokok juga meningkatkan risiko mendapat kanser peti suara pada kadar dua atau tiga kali ganda.

Merokok dan mengambil alkohol akan bersinergi dalam meningkatkan risiko kanser kepada 15 kali ganda.

Jika tidak mendapat kanser sekali pun, iritasi asap rokok boleh menyebabkan peti suara berparut (leukoplakia) atau bengkak (Reinke's edema).

* Rawat refluks
Bagi mereka yang mengalami penyakit refluks (asid dari rongga perut), sewajarnyalah rawatan untuk penyakit ini diambil perhatian.

Ini kerana kesan asid tersebut telah dikenal pasti menjadi salah satu punca iritasi terhadap peti suara yang dikenali sebagai refluks faringitis dan laringitis.

* Persekitaran yang bersih
Faktor pencemaran persekitaran akan mendedahkan seseorang itu untuk mendapat radang pada saluran pernafasan.

Keadaan ini amatlah tidak baik untuk kesihatan sistem pernafasan manusia secara amnya dan peti suara khasnya.

Rawatan
Rawatan kepada masalah peti suara amatlah bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi. Ada yang memerlukan sekadar rehat suara, terapi penggunaan suara yang betul. Malahan ada juga yang memerlukan penyiasatan selanjutnya seperti endoskopi dan biopsi.

Bagi kes-kes ketumbuhan, pembedahan atau radioterapi mungkin menjadi rawatan yang menjanjikan penyembuhan lebih berkesan.

Namun, apa yang lebih penting ialah kesedaran untuk mendapatkan rawatan kerana intervensi awal mungkin boleh menyelamatkan suara anda.

Menghargai nikmat
Sebagai seorang makhluk, kita bertanggungjawab untuk menjaga dan menggunakan kurniaan Tuhan dengan cara yang sebaik- baiknya.

Betapa sukarnya hidup mereka yang nikmat suaranya telah hilang, baik disebabkan oleh penyakit mahupun kecederaan yang tidak dapat dielakkan.

Namun, selagi mampu, kita wajib menghargai kurniaan yang tidak ternilai harganya ini. Suara kita perlu dijaga dan digunakan dengan kaedah dan untuk tujuan yang baik kerana setiap apa yang keluar dari peti suara kita pasti akan ditanya apa yang disuarakan itu kerana ‘suara kita, tanggungjawab kita’.

Admin:  Rasa-rasanya masalah kita macam rawat refluks jer.... Yela..sebabnya bila makan pedas dan masam suara akan menjadi teruk. Ntahlah.. Apa-apa pun kena berjumpa doktor dulu sebelum dapat jawapan sebenarnya.. Emmm...harap-harap tiada yang serius. Amin.... 

Suara serak memang sangat susah hati lah..
Sumber : Goggle

No comments:

Post a Comment